Ahad, 27 Oktober 2024

SEAGF luluskan 11 pingat emas sepak takraw Sukan SEA Thailand 2025

BANGKOK, THAILAND

27 Oktober 2024



SEPULUH acara dan 10 pingat emas sepak takraw yang disarankan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) pada Sukan SEA Thailand 2025 sebaliknya 11 yang diluluskan.

Kelulusan yang menggembirakan Astaf itu diberikan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) pada mesyuarat Majlisnya di ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Thailand (TOC) di Bangkok pada 25 Oktober 2024.

SEAGF hanya menolak acara regu campuran bagi acara sepaktakraw tetapi bersetuju dengan saranan Astaf yang diketuai Presidennya, Datuk Abdul Halim Kader untuk memasukkan chinlone (perkaitan) ke dalam temasya ke-33 itu.   

Selain acara sukan rakyat Myanmar itu, yang diluluskan bagi Sukan SEA Thailand dari 7 hingga 19 Disember 2025 dalam kategori lelaki dan wanita ialah regu berpasukan, antara regu, kuadran (berempat) dan gelung di samping kuadran campuran.   

“Ini satu pencapaian dan berita yang menggembirakan Astaf dan pastinya 11 negara peserta Sukan SEA termasuk Timor-Leste yang berjinak-jinak dengan sepak takraw sejak Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand di Korat pada September 2024. 

“Hanya satu acara chinlone iaitu perkaitan yang dikekalkan daripada Sukan SEA Kemboja 2023 atas dasar setiakawan dan muafakat serta tolak ansur malah dengan mengambil kira pengalaman penyertaannya oleh kebanyakan negara sejak Sukan SEA Myanmar 2013. 




Astaf juga mahu lebih banyak negara rantau Asia Tenggara ini menikmati pingat emas, perak dan gangsa sekali gus menjamin kemajuan dan kemampanan sukan sepak takraw,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang menghadiri mesyuarat berkenaan. 

Walau bagaimanapun angka pingat emas dan acara kali ini jauh berkurangan berbanding di Phnom Penh 2023 yang menghimpunkan enam acara lelaki dan empat acara wanita (sepak takraw) serta sehingga 11 acara chinlone termasuk campuran.

Malaysia membawa pulang empat pingat perak (regu berpasukan, antara regu, beregu dan chinlone gaya sama) dan empat pingat gangsa (beregu berpasukan dan kuadran wanita, perkaitan dan tanpa ulangan utama chinlone) dari Phnom Penh. 

Adakah dasar larangan monopoli iaitu setiap negara peserta kecuali tuan rumah hanya boleh menyertai acara-acara tertentu dikuatkuasakan lagi? 

“Kelayakan penyertaan setiap negara akan ditetapkan oleh Astaf dan disarankan semula kepada tuan rumah Thailand dalam masa terdekat selepas kami mengadakan perbincangan dengan beberapa negara termasuk Malaysia,” kata Halim, 73.

Dasar ini bertujuan mengagih-agihkan pingat emas kepada lebih banyak negara peserta dijalankan Astaf sejak Sukan SEA Laos 2009 malah merangkumi Sukan Asia Guangzhou 2010. 

Namun terdapat kemungkinan besar, acara sepak takraw tertua sejak Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 – regu berpasukan bakal diwajibkan kepada semua negara peserta di Thailand 2025 kerana Phnom Penh 2023 hanya menyaksikan Kemboja, Malaysia dan Thailand yang menyertainya

Khamis, 17 Oktober 2024

FESTIVAL SEPAKTAKRAW 2024 12 Oktober 2024

Alhamdulillah, 12 Oktober 2024 yang lalu telah berlangsungnya Festival Sepaktakraw 2024 sempena Hari Sukan Negara yang diraikan diseluruh negara. Sasaran Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun ini ialah seramai 4.5 juta orang terlibat dalam pelbagai acara sukan. Di Putrajaya sahaja, sebanyak 67 jenis acara sukan dianjurkan dan menarik minat ramai orang dari 11 hingga 13 Oktober 2024 yang lalu.


4 kategori dipertandingkan kali ini, Wanita, U15, U21 dan Veteran dengan jumlah keseluruhan 48 regu hadir memeriahkan acara. Hadiah kemenangan terkumpul mencecah hampir RM10,000 walaubagaimanapun terpaksa diagihkan sama rata kerana hujan lebat mencurah lewat petang itu.


Mengikut jangkaan awal, perlawanan tetap dapat dijalankan selepas hujan memandangkan Pancarona mempunyai sistem lampu yang baik serta gelanggang yang tidak licin. Perancangan Allah jauh lebih hebat apabila hujan lebat mengakibatkan banjir dibeberapa kawasan dan risiko petir pula membuatkan pihak penganjur membuat keputusan menamatkan sahaja perlawanan.




Antara yang menarik untuk diperkatakan ialah, acara veteran sangat mencuri tumpuan penonton. Pengalaman bermain yang banyak oleh mereka menyebabkan rata - rata perlawanan kategori veteran mengambil masa yang lama untuk dihabiskan.




Kategori U15 juga turut menampilkan bakat - bakat hebat yang beraksi di MSSM 2024 seperti pemain dari pasukan Kuala Lumpur dan Selangor. Malah, pemain berusia 11 dan 12 tahun turut berani turun berentap menentang pemain yang rata - ratanya berusia 14 - 15 tahun.




Manakala kategori belia U21 mempamerkan bakat - bakat muda yang seimbang. Ada yang pernah beraksi di SUKMA, Piala Emas Khir Johari dan VSL. Terdapat juga beberapa wajah baru yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan.



Acara Wanita yang kali pertama dipertandingkan di Festival Sepaktakraw Wanita juga menarik perhatian. Beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Eva, Akhirah dan beberapa yang lain memberikan gambaran bahawa Malaysia mampu bersaing diperingkat tinggi dengan syarat, lebih banyak kejohanan dan pendedahan perlu diberikan kepada mereka.




Sekalung tahniah juga kepada Persatuan Sepaktakraw Putrajaya (PESTAP) atas penganjuran yang kemas dan lancar. InsyaAllah lebih banyak kerjasama antara BolarotanTV dan PESTAP akan diusahakan di masa akan datang.




Terimakasih juga kepada Kementerian Belia dan Sukan atas kepercayaan yang diberikan kepada BolarotanTV untuk kesekian kalinya. sama - sama kita berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian hebat sukan tanahair!




 

Varsity Sepaktakraw League 2025 bermula!

 Sirkit 1 Varsity Sepaktakraw League (VSL) edisi 2025 bermula hari ini. Bertempat di UTeM, VSL kali ini menyaksikan juara tahun lalu, KPM-MS...