Khamis, 17 Oktober 2024

FESTIVAL SEPAKTAKRAW 2024 12 Oktober 2024

Alhamdulillah, 12 Oktober 2024 yang lalu telah berlangsungnya Festival Sepaktakraw 2024 sempena Hari Sukan Negara yang diraikan diseluruh negara. Sasaran Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun ini ialah seramai 4.5 juta orang terlibat dalam pelbagai acara sukan. Di Putrajaya sahaja, sebanyak 67 jenis acara sukan dianjurkan dan menarik minat ramai orang dari 11 hingga 13 Oktober 2024 yang lalu.


4 kategori dipertandingkan kali ini, Wanita, U15, U21 dan Veteran dengan jumlah keseluruhan 48 regu hadir memeriahkan acara. Hadiah kemenangan terkumpul mencecah hampir RM10,000 walaubagaimanapun terpaksa diagihkan sama rata kerana hujan lebat mencurah lewat petang itu.


Mengikut jangkaan awal, perlawanan tetap dapat dijalankan selepas hujan memandangkan Pancarona mempunyai sistem lampu yang baik serta gelanggang yang tidak licin. Perancangan Allah jauh lebih hebat apabila hujan lebat mengakibatkan banjir dibeberapa kawasan dan risiko petir pula membuatkan pihak penganjur membuat keputusan menamatkan sahaja perlawanan.




Antara yang menarik untuk diperkatakan ialah, acara veteran sangat mencuri tumpuan penonton. Pengalaman bermain yang banyak oleh mereka menyebabkan rata - rata perlawanan kategori veteran mengambil masa yang lama untuk dihabiskan.




Kategori U15 juga turut menampilkan bakat - bakat hebat yang beraksi di MSSM 2024 seperti pemain dari pasukan Kuala Lumpur dan Selangor. Malah, pemain berusia 11 dan 12 tahun turut berani turun berentap menentang pemain yang rata - ratanya berusia 14 - 15 tahun.




Manakala kategori belia U21 mempamerkan bakat - bakat muda yang seimbang. Ada yang pernah beraksi di SUKMA, Piala Emas Khir Johari dan VSL. Terdapat juga beberapa wajah baru yang dilihat berpotensi untuk diketengahkan.



Acara Wanita yang kali pertama dipertandingkan di Festival Sepaktakraw Wanita juga menarik perhatian. Beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Eva, Akhirah dan beberapa yang lain memberikan gambaran bahawa Malaysia mampu bersaing diperingkat tinggi dengan syarat, lebih banyak kejohanan dan pendedahan perlu diberikan kepada mereka.




Sekalung tahniah juga kepada Persatuan Sepaktakraw Putrajaya (PESTAP) atas penganjuran yang kemas dan lancar. InsyaAllah lebih banyak kerjasama antara BolarotanTV dan PESTAP akan diusahakan di masa akan datang.




Terimakasih juga kepada Kementerian Belia dan Sukan atas kepercayaan yang diberikan kepada BolarotanTV untuk kesekian kalinya. sama - sama kita berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian hebat sukan tanahair!




 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Varsity Sepaktakraw League 2025 bermula!

 Sirkit 1 Varsity Sepaktakraw League (VSL) edisi 2025 bermula hari ini. Bertempat di UTeM, VSL kali ini menyaksikan juara tahun lalu, KPM-MS...